Soalan Lazim
Mpox (yang dahulunya dikenali sebagai monkeypox) adalah penyakit yang disebabkan oleh virus monkeypox (MPXV) daripada famili Poxviridae. Mpox merupakan penyakit zoonotik yang merebak daripada haiwan kepada manusia. Walau bagaimanapun, pada masa ini lazimnya jangkitan berlaku
daripada manusia kepada manusia melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox. Mpox adalah penyakit endemik di rantau Afrika Tengah dan Barat serta telah merebak ke 116 negara lain. Terdapat dua (2) jenis clade virus monkeypox (MPXV) yang diketahui boleh menyebabkan mpox iaitu clade I dan clade II.
Pada 14 Ogos 2024, WHO telah mengisyhtiharkan mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern – PHEIC) buat kali kedua berdasarkan nasihat Jawatankuasa Kecemasan IHR (IHR Emergency Committee) dengan menekankan penularan strain mpox baharu yang lebih pantas iaitu clade Ib di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara-negara jiran di rantau Afrika. Terdapat empat (4) negara di Afrika Timur yang melaporkan kes mpox buat pertama kali iaitu Burundi, Kenya, Rwanda, dan Uganda. Kes mpox clade Ib juga telah dilaporkan di luar Rantau Afrika iaitu di Sweden (1 kes) pada 16 Ogos 2024 dan Thailand (1 kes) pada 21 Ogos 2024.
Sebanyak sepuluh (10) kes mpox telah dilaporkan di Malaysia dari 26 July 2023 sehingga kini dan kesemuanya merupakan clade II. Sehingga kini, tiada kes mpox clade I dikesan di negara ini. Bilangan kes mpox yang dilaporkan di setiap negara boleh disemak di laman sesawang
https://ourworldindata.org/mpox.