KENYATAAN MEDIA
KELULUSAN KIT UJIAN MONKEY POX YANG BERADA DALAM PASARAN MALAYSIA ( image Kelulusan Kit Ujian Monkey Pox Yang Berada Di Dalam Pasaran Malaysia (173 KB) )
CYBERJAYA, 29 OGOS 2024 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan sedar akan peningkatan kes monkey pox (mpox) di seluruh dunia ketika ini. Merujuk kepada laporan situasi mpox yang dikeluarkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 12 Ogos 2024, dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2024 terdapat sebanyak 99,176 kes mpox di seluruh
dunia melibatkan 116 buah negara, dengan 208 (0.21%) kematian. Pada bulan Jun 2024 sahaja, terdapat 934 kes dan empat (4) kematian yang dilaporkan di seluruh dunia, yang mana 567 kes (60%) adalah dari rantau Afrika.
Bagi membantu pengesanan virus tersebut secara berkesan, MDA telah meluluskan satu kit ujian virus monkey pox yang pertama seperti berikut:
Jenama: VIASURE MONKEYPOX VIRUS REAL TIME PCR DETECTION KIT
MDA ingin menegaskan bahawa kit ujian yang telah diluluskan ini hanya boleh dikendalikan oleh golongan professional sahaja seperti pengamal perubatan berlesen dan tidak boleh dikendalikan oleh orang awam. Sebarang penjualan dan pembelian di farmasi, kedai runcit mahupun di platform e-dagang adalah tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).
Sekiranya, kit ujian monkey pox tersebut tidak dikendalikan oleh golongan professional, terdapat kemungkinan keputusan ujian yang diperoleh adalah tidak tepat dan boleh menyebabkan penularan virus dalam kalangan orang awam.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membeli kit ujian monkey pox serta tidak menggunakan sendiri kit ujian monkey pox. Jika mana-mana individu yang mendapati penjualan kit ujian monkey pox ini kepada orang awam di farmasi, kedai runcit atau platform e-dagang, orang ramai digalakkan untuk melaporkan kepada MDA melalui Sistem Pengurusan Maklum Balas MDA (MDAFEMES) di femes.mda.gov.my.
DR. MURALITHARAN PARAMASUA
Ketua Eksekutif
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA)
29 Ogos 2024
#mpox #KKM #kementeriankesihatanmalaysia