Lindungi Diri, Cegah MPOX
MPOX, Sekilas Pandang
Apa itu MPOX
Mpox (yang dahulunya dikenali sebagai monkeypox) adalah penyakit yang disebabkan oleh virus monkeypox (MPXV) daripada famili Poxviridae dan merupakan penyakit zoonotik yang merebak daripada haiwan kepada manusia. Walau bagaimanapun, ianya kini telah berubah dengan jangkitan berlaku daripada manusia kepada manusia melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.
Pada 14 Ogos 2024, WHO telah mengisyhtiharkan mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern – PHEIC) berikutan penularan pantas di beberapa negara.
Bilangan kes mpox yang dilaporkan di setiap negara boleh disemak di laman sesawang https://ourworldindata.org/mpox.
Bagaimana penularan boleh berlaku
Cara Jangkitan
Penularan dari individu yang dijangkiti mpox ke individu lain boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan:
a. Ruam atau lepuh pada kulit individu yang bergejala;
b. Hubungan seksual;
c. Permukaan objek yang dicemari oleh cecair badan pesakit mpox.
Apakah simptom mpox
Tanda dan Gejala
Individu akan menunjukkan gejala mpox dalam tempoh 21 hari selepas terdedah kepada kes mpox. Gejala mpox biasanya termasuk demam, sakit kepala, lemah tubuh badan, bengkak pada kelenjar limfa dan ruam/ lepuh yang boleh timbul pada mana-mana bahagian badan lazimnya pada muka, tapak tangan, tapak kaki, dan alat kelamin.
Cara merawat mpox
Rawatan
Kebanyakan jangkitan mpox boleh sembuh dengan sendiri tanpa memerlukan rawatan.
Penjagaan ruam/ lepuh adalah penting dengan membiarkannya kering dan juga menutup lepuh yang terdedah supaya cecair lepuh tidak tersebar.
Rawatan antiviral akan diberikan mengikut tahap keterukan jangkitan dengan nasihat daripada Pakar Perubatan. Buat masa ini ubat antiviral hanya diberikan kepada individu yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi seperti individu yang mempunyai imuniti rendah dan mereka yang mempunyai gejala yang teruk.
Kawalan Kesihatan Kendiri dan Pencegahan
KKM menyeru individu yang mempunyai gejala mpox seperti ruam dan lepuh pada kulit untuk segera menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran. Manakala mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan untuk mengelak daripada bersentuhan secara langsung dengan individu yang bergejala bagi mengurangkan penularan jangkitan mpox.
Anda Pengamal Perubatan?
Dapatkan maklumat anda di ‘Guidelines MPOX Management In Malaysia’
Anda adalah Pengembara?
Ketahui maklumat lanjut di ‘Nasihat kepada pengembara ke negara yang terdapat penularan mpox'